TABIAT BAIK MEMBANTU KE ARAH KECEMERLANGAN

MEMBACA buku pada masa lapang merupakan tabiat yang baik. Tabiat bermakna kita mengamalkan sesuatu perkara mengikut kebiasaan. Tabiat yang baik bermakna kita bertertib dengan disiplin ketika melakukan aktiviti seharian.

Tabiat adalah bagaimana cara seseorang itu berfikir, bertindak dan bertindak balas dengan sesuatu kejadian.

Pelajar yang cemerlang perlu mempunyai tabiat yang baik. Kecemerlangan lahir daripada asuhan, keinginan dam keperluan untuk mencapai sesuatu yang baik.

Cuba fikirkan sama ada anda mempunyai tabiat berikut dalam kehidupan sehari-hari:

1. Membaca buku sebelum tidur.

2. Bertanya di dalam kelas jika tidak faham.

3. Menoleh ke belakang setiap kali membuka pintu.

4. Mengemaskan keperluan ke kelas sebelum waktu tidur.

5. Mendengar dengan tekun apabila berbual dengan rakan.

6. Melemparkan senyuman apabila berselisih dengan orang.

Tabiat di atas merupakan senarai ringkas daripada pelbagai tabiat yang boleh diikuti oleh pelajar.

Ia bukan perkara yang sukar atau mustahil untuk dilakukan. Tabiat yang baik akan membantu anda untuk mendapatkan kecemerlangan.

Pelajar yang bersikap proaktif seperti suka bertanya di dalam kelas, berbincang dengan guru dan rakan, akan lebih mempunyai tabiat suka bersendirian.

Orang yang bersikap proaktif tidak terpengaruh dengan faktor luaran.

Di samping bertanggungjawab kepada diri sendiri, mereka akan cuba mengatasi masalah mereka.

Pelajar yang bersikap inovatif selalunya mempunyai tabiat penggerak atau pemula dalam diri mereka.

Mereka gemar melakukan perkara yang belum dilakukan oleh orang lain dan bangga menjadi pemenang.

Keinginan seperti ini lahir daripada tabiat inginkan kelebihan daripada orang lain.

Adakah anda orang pertama melakukan perkara-perkara berikut di dalam kelas:

1. Menyiapkan tugasan atau latihan.

2. bersetuju untuk menjadi ketua atau pengawas.

3. Menawarkan diri untuk sebarang persembahan.

4. Mengangkat tangan apabila guru bertanya soalan.

.

PENGGUNAAN MASA

Pelajar juga merungut tentang masa. Mungkinkah anda pernah menyebut atau merungut dengan perkara-perkara berikut:

1. "Saya dapat soalan tersebut, tetapi masa tak cukup."

2. "kalaulah ada masa, tentu saya dapat habiskan buku tersebut."

3. "Exam dah dekat ni... tak bolehlah tengok siaran langsung bola sepak."

Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah masa mengikut keperluan hidupnya.

Masa yang sudah berlalu tidak akan dikembalikan. Sifat masa yang paling penting yang perlu diketahui oleh pelajar ialah:

"Masa tidak perlu dibayar - setiap orang mempunyai 24 jam sehari semalam dan terpulanglah kepada anda untuk menggunakan masa tersebut."

Panduan membahagikan masa

Terdapat banyak kriteria membahagikan masa. Setiap orang mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Sebagai pelajar, anda boleh mengikut kriteria di bawah sebagai panduan umum:

1. Lakukan perkara yang mudah dahulu - dala peperiksaan, misalnya, anda perlu bermula dengan soalan yang paling mudah diselesaikan.

2. Lakukan perkara yang lebih cepat untuk disiapkan berbanding dengan yang mengambil masa.

3. lakukan perkara yang perlukan tindakan segera berbanding dengan yang kurang penting.

4. Lakukan perkara yang mempunyai sumber terlebih dahulu.

5. Lakukan perkara yang sudah dirancang berbanding dengan yang tidak dirancang.

6. Lakukan perkara yang kita tahu sebelum perkara perkara yang kita tidak tahu.

7. Lihatlah siapa yang memerlukan tindakan kita.